BEZA EXCLUSIVE & GENERAL AUTHORISATION TO SELL/RENT

0
781

Apabila anda ingin menjual rumah melalui ejen atau perunding hartanah berdaftar, biasanya mereka akan meminta anda menandatangani satu borang iaitu AUTHORISATION TO SELL

Borang ini ada 2 jenis, iaitu satu EXCLUSIVE dan satu lagi GENERAL.

Mesti anda sebagai pemilik atau penjual tertanya, apakah bezanya?

OK. Secara ringkasnya AUTHORISATION TO SELL adalah borang yang menyatakan anda memberi kebenaran kepada ejen atau perunding hartanah tersebut secara sahnya untuk menjual rumah anda.

EXCLUSIVE bermaksud hanya seorang sahaja ejen atau perunding hartanah yang diberi kuasa tersebut. Manakala GENERAL anda berikan kepada ramai-ramai ejen atau perunding hartanah untuk menjualkan rumah anda.

Ramai pemilik atau penjual beranggapan mempunyai ramai ejen yang bekerja untuk rumah mereka adalah bagus. Bermaksud lebih banyak pendedahan (iklan). Tetapi itu bukanlah yang berlaku sebenarnya.

Bila anda berikan GENERAL, yuran professional akan dibayar kepada mana-mana ejen atau perunding hartanah yang jual terlebih dahulu (yang harga jualannya anda persetujui). Tiada jaminan mana-mana ejen atau perunding akan berjaya walaupun mereka telah bekerja-keras. Banyak juga bergantung kepada nasib.

Oleh sebab itu, ejen atau perunding hartanah yang hanya mendapat GENERAL, mereka tidak akan buang masa menghabiskan duit untuk pemasaran dan pengiklanan sedangkan mereka belum tentu mendapat hasil.

Mereka hanya mengiklan di laman web percuma atau di forum-forum percuma sahaja. Selain itu, mereka hanya akan kemaskini maklumat kepada anda jika ada pembeli yang berminat dengan rumah tersebut. Jika tidak, mereka akan diam sahaja.

Yang paling teruk sekali adalah mereka ini (ejen atau perunding yang terdesak dan tidak bertanggungjawab) hanya ada satu objektif yang bukan menyebelahi pemilik atau penjual. Objektif mereka ‘aku mesti jual cepat’.

Ada kes, mereka ini memberi diskaun sendiri kepada prospek pembeli dan kemudian mempengaruhi pemilik atau penjual bahawa itu adalah tawaran terbaik. Akhirnya mereka berjaya jual dengan harga yang rendah yang sudah tentu merugikan pemilik atau penjual.

Cuba anda lihat rumah yang mempunyai banyak banner daripada pelbagai agensi dengan pelbagai nombor telefon. Cuba anda telefon satu-persatu bertanyakan pasal harganya. Pasti ada banyak versi dan anda akan pening yang mana satu betul.

Namun berbeza jika anda berikan EXCLUSIVE. Hanya seorang ejen atau perunding hartanah yang akan menguruskan semuanya. Mereka akan bertindak sangat professional untuk melindungi kepentingan pemilik atau penjual. Mereka sanggup menyenaraikan rumah berkenaan ke laman web dan media pengiklanan berbayar.

Mereka tidak tertekan malah sangat tenang dalam setiap perundingan kerana mereka mencari tawaran terbaik untuk pelanggan mereka. Mereka tidak terganggu-gugat dengan sergahan prospek pembeli yang mengatakan harga rumah itu terlalu mahal.

Bila diberi EXCLUSIVE bukan bermakna mereka mempunyai pendedahan yang terhad. Mereka masih boleh bekerjasama (JV) atau bahasa lainnya adalah Co-Agency dengan ejen dan perunding hartanah dari agensi lain asalkan matlamat pelanggan boleh tercapai.

Ejen atau perunding hartanah EXCLUSIVE akan sentiasa kemaskini perkembangan terkini berkenaan rumah anda. Antara perkara yang mereka akan maklumkan adalah:

• Apakah medium pengiklanan yang digunakan?
• Berapa ramai prospek pembeli yang menelefon?
• Apa maklum balas melalui telefon?
• Berapa ramai yang datang melihat rumah?
• Apa maklum balas selepas melihat rumah?
• Apakah corak demografi prospek pembeli?
• Bagaimana polisi pinjaman bank mempengaruhi prospek pembeli?

Berdasarkan maklumat ini nanti, pemilik atau penjual akan membuat keputusan terhadap harga yang ditetapkan sebelum ini. Samada perlu dikurangkan atau dikekalkan lagi untuk beberapa ketika. Atau mungkin pemilik atau penjual perlu membuat baikpulih terhadap rumah tersebut jika komen prospek pembeli menjerumus ke arah tersebut.

Akhir sekali, bukanlah ada jaminan bahawa bila diberi EXCLUSIVE rumah anda akan berjaya dijual dengan cepat dan mahal. Tiada siapa boleh jamin. Kalau mereka boleh jamin, mungkin mereka itu TUHAN atau MALAIKAT (sarkastik). Tetapi dengan EXCLUSIVE, anda boleh pasti bahawa anda mendapat pekerja yang setia dan menguntungkan anda.

Nota:

Situasi di atas juga sama dalam keadaan mencari penyewa. Borang yang ada EXCLUSIVE dan GENERAL AUTHORISATION TO RENT.

Tinggalkan Komen